KUALA LUMPUR: Pendakwah dan penceramah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan bahawa pihaknya telah sedia maklum bahawa Selangor membenarkan kuliah bagi penceramah yang mempunyai tauliah mengajar di negeri berkenaan sahaja.

Bagaimanapun, Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI itu berkata, pihak pengurusan Masjid Tengku Ampuan Bukit Jelutong tetap meminta supaya beliau hadir bagi menyampaikan kuliah di masjid mereka.

“Kita memang dah tahu dari zaman Pakatan Harapan (PH) jadi kerajaan 22 bulan lagi, memang (saya) tidak boleh di Selangor sebab (negeri itu benarkan penceramah) untuk yang bertauliah sahaja.

“Cuma ada masjid di Bukit Jelutong ini, mereka minta juga (supaya saya hadir). Kami kata boleh (tetapi) sediakan surat sokongan baru kami boleh pergi, mohon tauliah sementara untuk malam itu sahaja, dan mereka sudah pun mohon.

“Selesai semua benda, dan (kemudian kuliah itu) dibatalkan. Kami akur, tukar ke Kampung Pandan, tidak ada isu pun,” katanya ketika menjawab salah soalan daripada salah satu jemaah di Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada Ahad.

Sebelum ini pembatalan ceramah Ustaz Azhar Idrus di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, mendapat perhatian apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membatalkan kuliah maghrib di masjid berkenaan susulan tidak mempunyai tauliah mengajar agama di Selangor.

Menurut Pengarah JAIS, Datuk Shahzihan Ahmad, ketetapan itu tertakluk kepada undang-undang dan peraturan berkuat kuasa di Selangor.

Pada Ahad, meskipun terpalit kontroversi tersebut, namun Kuliah Maghrib Perdana oleh Ustaz Azhar Idrus di Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan itu dihadiri oleh ribuan jemaah. 


Ujar beliau, masjid di Bukit Jelutong itu telah membuat permohonan rayuan sebanyak dua kali namun masih tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

“Masjid rayu, tidak boleh rayu, mereka minta (buat permohonan) rayu sekali lagi (tetapi) tidak boleh juga.

“Jadi kami ambil keputusan pindah (kuliah) ke Kuala Lumpur. Kenapa mu koyak? Bukan kita marah pun.

“Awak tidak bagi kami berkuliah, kami berpindah ke Kampung Pandan. Comel dah (keputusan itu), eh koyak juga,” menurutnya.

BACA: JAIS batal kuliah Ustaz Azhar Idrus 

Dalam pada itu, Ustaz Azhar Idrus berkata, bahawa kebenaran bertauliah sememangnya dibenarkan dalam syarak kerana bertujuan bagi mengawal penceramah-penceramah yang membawa ajaran sesat.

“Yang ada mengajar ajaran sesat, memang dilarang. Itu memang betul, dibolehkan.

“Tetapi janganlah kita gunakan untuk nafsu. Kita halau orang berkuliah kerana nafsu sahaja, bukan kerana ajaran sesat dan sebagainya.

“Nasihat saya, kamu-kamu ini nanti jadi menteri, jadi orang yang ada kuasa. Gunakan kuasa itu untuk luaskan ilmu ALLAH dan gunakan kuasa kamu untuk sekat maksiat,” jelasnya. - Sinar Harian